Isnin, 22 Mac 2010

PENGISIAN SELEPAS UPSR

Saban tahun ibubapa yang anaknya berada di tahun 6 akan berdebar menanti tarikh peperiksaan UPSR. Siang malam berfikir dan berdoa semoga anaknya akan mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut.

Begitu juga dengan guru di sekolah, pentadbir dan siapa sahaja yang berkaitan secara langsung dengan pendidikan.

Namun suatu perkara yang agak menyedihkan ialah suasana selepas UPSR. Sebaik sahaja UPSR berakhir murid tahun 6 telah diulit dengan rasa merdeka, guru diulit dengan rasa penuh kelegaan. Masing-masing tidak tentu arah. Ada setengah sekolah cuba mengisi kekosongan itu dengan pelbagai aktiviti. Namun kebanyakannya gagal untuk menarik murid tahun 6 hadir penuh ke sekolah selepas UPSR.

Ditambah bila sang anak berkata kepada ibubapanya yang di sekolah sudah tidak ada aktiviti melainkan sukan dan acara kemahiran hidup, kuiz dan sebagainya.

Saya berpendapat, komen mereka ada benarnya. Marilah kita membayangkan biasanya kemudahan sesuatu unit di sekolah hanya untuk dikongsi oleh murid seramai 50 orang sahaja maksima dalam satu masa. Ia hanya mencukupi untuk perjalanan sebuah bilik darjah berkapasiti penuh. Tiba-tiba selepas UPSR murid akan dikerah ke padang beramai-ramai yang setengahnya sehingga mencapai 300 orang. Mereka akan dikerah ke bilik kemahiran hidup untuk program SRT. Sehari kemudian dikerah ke dewan untuk aktiviti kuiz yang hanya melibatkan beberapa peserta sahaja. Sudah tentu menjadi kebosanan kepada mereka yang hanya menjadi penonton dan pendengar.

Jika komen mereka diambil kira, mengapa tidak kita laksanakan pendidikan secara umum ketika ini. Kita tukar suasana, kumpulkan mereka di dewan dan ajar kepada mereka secara umum. Satu hari mungkin boleh diajarkan 3 tajuk utama. Banyak perkara boleh diajar, Keremajaan, Hal Ehwal Wanita, Adab pergaulan, Adab bermasyarakat, Protokol, Hari-hari kebesaran islam, Cerita-cerita sejarah, cerita dongeng, cerita rakyat, dan banyak lagi. Hal agama pun tidak mencukupi harinya.

Pada masa yang sama jika satu program lain hendak dijalankan, seperti sukan dan sebagainya. Ia tidak perlu melibatkan semua murid, cukuplah mereka yang menyertai sama ada sebagai pemain, pengadil, pengurus dan sebagainya. Yang lain biarlah terus menghadapi 'pensyarahnya' untuk meneruskan pelajaran dalam dewan kuliah. Tidak bermakna mengheret semuanya ke padang sedangkan kawalan tidak dapat dibuat. Kita juga harus menyedari setiap murid mempunyai kecenderungan dan potensi yang berbeza. Tidak semuanya berminat dalam acara sukan.

Itulah pandangan saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan