Sabtu, 6 Mac 2010

KELUARGA BAHAGIA - SATU PANDANGAN

Satu mata pelajaran yang dikhususkan di sekolah ialah bab kekeluargaan, dan pendidikan anak. Seperti juga haji, jika sekadar belajar dalam bilik darjah dan terus melangkah ke Makkah mungkin kita akan menjadi orang yang tertanya-tanya dan terpinga-pinga. Maka sebab itu seseorang yang akan menunaikan haji akan diberi kursus khas haji secara bersiri.

Persoalannya, mengapa tidak ada sistem tersebut bagi yang hendak berkahwin atau yang telah berkahwin?. Apakah tidak boleh dilaksanakan, jika tidak boleh mengapa dan jika boleh bagaimana?

Bagi saya, saya berkeyakinan ia sebenarnya boleh, bukankan undang-undang kita yang buat dan kita juga boleh mansuhkan juga pada bila-bila masa jika keadaan dirasai tidak sesuai. Kita telah lihat berapa banyak undang-undang dan peraturan telah dicipta dan dimansuhkan begitu sahaja. Bahkan setengahnya memperjudikan masa depan anak-anak kita yang sedang belajar pun.

Oleh itu saya beranggapan ia boleh dibuat. Umpamanya kita mensyaratkan tempoh pertunangan hingga kepada kelahiran anak mesti setahun. Ini bermakna tempoh pertunangan paling pendek ialah tiga bulan. Pasangan ini dalam tempoh itu mesti hadir secara tetap ke satu kursus khas yang dinamakan kursus kekeluargaan islam. Sukatan pelajarannnya dibahagi kepada 4 bahagian, Fardhu Ain yang mensyaratkan menghafaz dan amali perkara asas, Nikah Kahwin yang berkait dengan hukum-hukum perkahwinan, Keluarga Bahagia yang membincangkan tentang perhubungan suami isteri dan pergaulan yang dikehendakki oleh Islam, dan Pendidikan Anak yang menekankan cara menanamkan benih yang baik hingga kepada anak itu dewasa.

Selama dalam tempoh itu, jika telah bernikahpun mesti hadir. Jika telah bernikah kita beri persaksian sementara (merah) yang tidak laku di hospital atau dipendaftaran. Berpakatlah dengan mereka sijil kelahiran tidak akan dikeluarkan sehingga persaksian nikah yang asal (biru) dikeluarkan. Kalau dalam hal lain kita boleh paksa, mengapa untuk membentuk keluarga bahagia kita berdolak dalih. Banyak perkara yang kita lihat dibuat secara paksa sama ada secara sivil atau politik. Contohnya, hendak ambil periksa mesti bayar dulu, tidak bayar tidak boleh ambil periksa. Hendak ambil road-tax mesti ambil insuran. Hendak buka kedai jahit dan mendapatkan pinjaman dari satu agensi kena kursus jahitan dulu. Ini semua untuk kebaikan. Dan persyaratan tentang kekeluargaan islam juga bertujuan kebaikan.

Ada yang bimbang memungkinkan ramai yang berkahwin di Thailand, saya ulas balik, undang-undang kita yang buat. Kalau berkahwin di Thailand sekalipun silakan, tapi bila daftar dalam negara, hendak ambil persaksian, sila kursus dulu, kalau tidak persaksian merah, dah kursus baru persaksian biru atau hijau atau kuning atau oren ke.

Bagaimana Tuan Kadhi dengan pendapat saya,
Bagaimana Dato Mufti,

Semoga jika pandangan ini diterima dan pelaksanaan dibuat maka selepas ini akan lahirlah keluarga bahagia dan menyusutlah jumlah anak-anak yang teraniaya kerana diberi makan yang haram, pakaian yang haram, dan tempat tinggal yang haram.




Insan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan